6 Penyakit Setiap Wanita Perlu Tahu,Mempunyai Ciri Yang Sama Dengan Kanser Payudara

ciri kanser payudara tapi bukan barah payudara
HANYA 20 peratus penyakit pada payudara adalah barah. Selebihnya bukan barah tetapi masih mendatangkan rasa sakit dan memerlukan rawatan.

Ada enam jenis penyakit bukan barah yang menyerang payu dara.
Setiap satu memiliki ciri-ciri yang hampir sama dengan barah payu dara. Justeru pengesanan dan pemeriksaan awal membolehkan seseorang itu mengetahui sama ada dia diserang barah atau tidak.

Dr Komathy Thiagarajan dari Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), tidak dinafikan barah payudara adalah barah yang menduduki carta teratas sebagai pembunuh wanita.

“Pada 2003 misalnya, daripada 100,000 wanita, 39.5 adalah pesakit barah payu dara manakala 16.5 peratus pesakit barah servik. Tetapi bukan semua penyakit pada payudara itu barah,” katanya.

Pengesanan awal boleh mengurangkan risiko barah payudara. Pemeriksaan sendiri misalnya mengambil masa kurang lima minit dan dilakukan sebulan sekali.

“Kekerapan membuat pemeriksaan sendiri mengikut jadual membolehkan wanita itu biasa dengan payudaranya dan jika berlaku keganjilan dia akan tahu ada yang tidak kena,” katanya.

Komathy berkata, amat penting bagi seseorang yang tidak pasti dengan keadaan payudaranya membuat pemeriksaan. Apatah lagi jika tergolong dalam kumpulan berisiko (adik beradik atau saudara terdekat yang meninggal dunia atau didiagnos dengan barah).

Selalunya wanita di dalam kumpulan begini diberi lebih perhatian kerana risiko barah payudara yang tinggi berbanding wanita lain.

6 Penyakit Setiap Wanita Perlu Tahu,Mempunyai Ciri Yang Sama Dengan Kanser Payudara

1# Fibrosistik

Fibrosistik menyebabkan payu dara kelihatan berbenjol dan terasa sangat sakit. Selalunya kesakitan bertambah menjelang haid.

Fibrosistik terjadi kepada lebih 50 peratus wanita. Ia masalah biasa dan dialami wanita tanpa mengira usia tetapi lebih kerap pada wanita sekitar umur reproduktif.

Fibrosistik dikenali menerusi keadaannya yang berbenjol, bengkak, sista cecair selain sakit. Ia bukan faktor risiko kepada barah tetapi keadaan payudara yang berbenjol menimbulkan rasa tidak selesa.

Malah jika seseorang itu sebenarnya berhadapan dengan barah payudara, sukar untuk membuat pengesanan kerana keadaan payudara yang fibrosistik.

Penyakit ini dikaitkan dengan kitaran haid. Kerana itu ia akan berasa sangat sakit menjelang haid. Dalam sesetengah kes, simptom fibrosistik masih berterusan ketika hampir putus haid. Dalam kes tertentu, fibrosistik memerlukan biopsi terutama jika benjolan agak keras.

2# Fibroadenoma

Fibroadenoma adalah satu punca benjol pada payu dara.
fibroadenoma

Ia tidak sakit dan boleh bergerak-gerak jika dipicit. Ia masalah payudara yang sering terjadi dan boleh menyerang wanita tanpa mengira usia. Lebih kerap menyerang wanita berusia 20an dan 30an. Jika benjolan terjadi pada wanita berusia 40an, kemungkinan besar ia bukan fibroadenoma.

Fibroadenoma dikaitkan dengan tahap hormon estrogen yang lebih tinggi dari biasa. Selalunya benjolan yang tumbuh berukuran satu ke 1.5 sentimeter. Saiz itu selalunya kecil hingga ia akan mengecil dengan sendirinya apabila tahap estrogen wanita menurun.

Walaupun ia berbenjol seperti fibrosistik, tetapi benjolannya mempunyai sempadan yang jelas. Ia boleh bergerak-gerak apabila dipicit dan boleh tumbuh lebih dari satu benjolan pada satu-satu masa.

Diagnosis menentukan sama ada benjolan itu barah atau fibroadenoma memerlukan biopsi. Rawatan terbaik menangani fibroadenoma adalah pembedahan membuang benjolan kecuali jika ia terlalu kecil atau terlalu banyak. Walaupun selepas pembedahan fibroadenoma boleh berulang.

3# Nekrosis lemak

Selalunya nekrosis lemak terjadi apabila berlakunya kecederaan pada tisu lemak payudara. Tisu yang tercedera menjadi benjolan keras atau benjolan berisi minyak.

Seperti kebanyakan penyakit payudara lain, diagnosis nekrosis lemak memerlukan biopsi. Tiada rawatan khusus untuk menangani nekrosis lemak.

4# Radang payu dara(mastitis)

tanda mastitis

Terjadi apabila kulit payudara pecah dan kuman memasuki tisu payudara. Ia menyebabkan jangkitan hingga kawasan yang tercedera terasa sakit dan kulit payudara menjadi merah.

Biasanya doktor akan memberikan ubat penahan sakit dan antibiotik. Jika dibiarkan melarat nanah boleh berkumpul dan memerlukan pembedahan bagi mengeluarkan nanah.

Radang payudara adalah masalah biasa bagi ibu yang menyusukan bayi. Anda akan tahu diserang radang payudara apabila ia berasa sakit, panas, bengkak dan merah. Kadangkala tubuh berasa letih, gatal dan selesema.

Kadangkala ibu yang menyusu bayi akan diserang demam dan selesama sebelum menyedari mereka sebenarnya mengalami radang payu dara.

5# Galaktorea

Galaktorea adalah masalah susu yang dihasilkan dari payudara wanita yang tidak menyusu bayi. Kadangkala galaktorea membabitkan sebelah payudara saja atau mungkin boleh menyerang kedua-dua belah payudara.
galaktorea

Dalam kes galaktorea, susu mungkin keluar secara spontan atau setiap kali payudara disentuh. Galaktorea dikaitkan dengan penggunaan ubat-ubatan tertentu (ubat darah tinggi, ubat kemurungan, hormon dan ubat tahan muntah).

Ia boleh juga terjadi kerana penggunaan dadah, ketumbuhan pada kelenjar susu atau pemeriksaan payudara sendiri yang terlalu kerap. Kadangkala galaktorea boleh terjadi kerana stimulasi aktiviti seks. Galaktorea biasanya dirawat berdasarkan punca penyebab.

6# Ektasia duktus (duct ectasia)

Walaupun barah payudara dikaitkan dengan pengeluaran nanah pada puting, ada juga sejenis penyakit bukan barah yang boleh mengeluarkan cecair tebal dan melekat.

Ektasia duktus atau masalah jangkitan saluran susu misalnya menyebabkan puting mengeluarkan cecair berwarna hitam atau hijau. Biasanya ia menyerang wanita berusia 40 dan 50 tahun.

ektasia tu apa1

Ektasia duktus menyebabkan areola (kawasan berwarna gelap sekeliling puting) terasa sakit, merah dan mungkin terdapat benjolan keras. Ia terjadi kerana saluran susu yang bengkak.

Ektasia duktus boleh hilang dengan sendirinya atau dirawat dengan tuam panas dan pengambilan ubat-ubatan antibiotik. Dalam kes tertentu, benjolan saluran susu mungkin perlu dibuang secara pembedahan.

Oleh itu kenali sebaik mungkin tanda-tanda dan gejala yang berlaku supaya mudah kita kenal apa sebenarnya penyakit yang dihadapi. Segera dapatkan rawatan doktor dan usah bertangguh walau sekejap.

Hargai dirimu, wanita. Kerana dirimu begitu berharga!