9 Tip Terbaik Menjaga Luka Bersalin Caesarean Agar Cepat Sembuh

tip jaga luka czer

Assalamualaikum

Ketakutan Ibu Bersalin Secara Pembedahan

Antara perkara yang paling ditakuti oleh ibu yang melahirkan anak secara pembedahan atau caesarean (czer) adalah apabila luka jahitan masih belum pulih walaupun sudah 2 bulan melahirkan.

Tambah merisaukan, apabila luka jahitan kembali terbuka dan mengakibatkan sukar untuk bergerak ke sana ke mari akibat kesakitan yang teramat sangat. Memang pedih dan seksa. Tanyalah siapa yang pernah merasainya.

Penulis sendiri belum pernah melaluinya (moga Allah jauhkan), namun bila mendengar pengalaman mak sendiri yang melalui 2 kali proses melahirkan secara caesarean, timbul rasa insaf yang amat sangat didalam hati.

9 Tip Terbaik Menjaga Luka Bersalin Caesarean Agar Cepat Sembuh

1. Memastikan kawasan luka sentiasa kering. Bagi luka episiotomi, pastikan luka dilapkan kering-kering selepas ke tandas dan sapukan ubat luka yang diberi oleh doktor. Begitu juga dengan luka caesarean. Selepas mandi, pastikan luka tersebut dilapkan kering-kering.

2. Jika ibu bersalin secara pembedahan caesarean ingin menggunakan bengkung, letakkan lapisan kapas atau tisu yang tidak melekat supaya boleh menyerap peluh agar kawasan luka sentiasa kering. Hal ini sangat penting kerana jika lembap, jangkitan mudah berlaku.

3. Tidak digalakkan menggunakan ubat-ubatan tradisional seperti minyak atau herba untuk menyembuhkan luka kerana dikhuatiri minyak tersebut akan mengganggu percantuman semula kulit.

Doktor akan menasihatkan agar mereka tidak meletakkan sebarang ubat-ubatan tradisional dalam tempoh 10 hari pertama selepas luka dijahit. Setelah yakin luka sudah bercantum, barulah doktor memberikan kebebasan untuk membuat apa yang diingini pada luka tersebut.

luka czer

4. Risiko jahitan terbuka tetap ada dan ia perkara biasa. Jahitan terbuka disebabkan oleh beberapa perkara. Antara penyebabnya ialah benang yang digunakan kerana ada benang yang cepat menyerap iaitu sebelum kulit bercantum kembali.

Selain itu, bergantung juga pada jenis tisu pada kawasan luka tersebut. Ada orang yang tisunya terlalu nipis dan mudah terkoyak.

Mereka ini memang berisiko untuk luka terbuka kembali selepas dijahit. Satu lagi perkara yang turut menyebabkan jahitan terbuka ialah cara jahitan. Sekiranya jahitan terlalu ketat, masalah boleh timbul.

5. Sekiranya seseorang wanita itu mendapati jahitannya terbuka, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Doktor akan memeriksa untuk memastikan adakah perlu dijahit semula ataupun tidak.

Sekiranya bahagian yang terbuka tidak terlalu besar, doktor akan biarkan sembuh dengan sendiri. Akan tetapi, sekiranya yang jahitan yang terbuka itu besar, doktor akan menjahit semula.

Memang kalau dibiarkan akan sembuh tetapi tidak cantik dan otot tidak akan bercantum balik dan tidak kuat. Akan timbul masalah lain di kemudian hari.

6. Ibu hamil yang menghidap diabetes, akan mengambil masa untuk sembuh luka jahitan. Oleh yang demikian, mereka perlu pastikan tahap kencing manis dikawal. Kandungan gula dalam darah penting agar proses penyembuhan cepat.

7. Sekiranya inginkan luka cepat sembuh, pengambilan makanan seimbang penting. Pastikan tubuh cukup vitamin terutama vitamin C kerana dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

8. Selepas bersalin digalakkan mengambil multivitamin. Makan sayur dan buah-buah banyak kerana kandungan seratnya boleh mengurangkan sembelit.

Akan tetapi sekiranya sudah lebih 14 hari namun luka masih tidak sembuh, jumpalah doktor segera kerana takut ada jangkitan.

9. Ibu selepas bersalin perlu berhati-hati terhadap pengambilan ubat-ubatan tradisional terutamanya dari segi kebersihannya. Dikhuatiri kandungannya akan membahayakan kesihatan.

Semoga tip-tip ini membantu ibu-ibu yang bersalin secara caesarean diluar sana. Jangan bersedih kerana terpaksa melalui proses pembedahan untuk bersalin, ganjaran pahala ibu-ibu tetap sama 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge