5 Risiko Utama Bersalin Secara Pembedahan (Caesarean)

risiko dan kesan bersalin secara czer (pembedahan)

Assalamualaikum

Bersalin Caesarean VS Bersalin Normal?

Secara amnya, kaedah bersalin secara normal adalah lebih selamat berbanding pembedahan caesarean. Ini bukan sahaja untuk kehamilan anda sekarang, tetapi juga untuk kehamilan anda yang seterusnya.

Kaedah bersalin normal juga lebih baik untuk kesuburan anda pada masa hadapan.

Walaupun pembedahan caesarean ialah prosedur biasa, kesemua pembedahan mempunyai risikonya sendiri. Pembedahan caesarean melibatkan pembedahan besar pada bahagian perut dan pelvis anda.

Pengalaman penulis sendiri, hampir melalui proses caesarean semasa bersalinkan anak pertama akibat jalan tidak terbuka. Akhirnya terpaksa menjalani proses induce dan syukur merasai contraction dan jalan terus buka, akhirnya dapat bersalin secara normal.

5 Risiko Utama Bersalin Secara Pembedahan (Caesarean)

Kesakitan

Keburukan utama pembedahan caesarean ialah kesakitan yang terpaksa dialami selepas pembedahan. Anda akan rasa sakit pada bahagian luka pembedahan dan rasa tidak selesa pada bahagian perut selama beberapa minggu selepas pembedahan.

Anda akan diberi ubat penahan sakit untuk menangani kesakitan ini, tetapi ia masih akan mengganggu aktiviti seharian anda untuk beberapa ketika.

luka bersalin czer

Jangkitan

Sebelum dibedah, anda akan diberi satu dos antibiotik untuk mengurangkan risiko terkena jangkitan. Walau bagaimanapun, kira-kira lapan peratus daripada wanita yang menjalani caesarean masih mendapat jangkitan selepas pembedahan. Terdapat tiga jangkitan utama yang perlu diberi perhatian:

  • Jangkitan pada bahagian luka. Tanda-tanda jangkitan pada luka termasuk kemerahan, berair, atau kesakitan yang semakin teruk pada bahagian tersebut.
  • Jangkitan pada lapisan uterus (rahim). Ini dipanggil endometritis. Masalah ini lebih berkemungkinan berlaku jika air ketuban anda pecah lama sebelum anda mula rasa sakit bersalin atau sekiranya anda menjalani banyak pemeriksaan faraj sebelum pembedahan. Tanda-tanda jangkitan ini termasuk pendarahan yang teruk dan berbau serta demam.
  • Jangkitan salur kencing. Semasa pembedahan, sebatang tiub nipis atau catheter akan dimasukkan ke dalam salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing anda. Jangkitan boleh berlaku melaluinya.

Darah beku

Mana-mana pembedahan meningkatkan risiko anda mengalami darah beku.

Ini boleh jadi serius, bergantung kepada di mana pembekuan itu berlaku. Jika pembekuan berlaku dalam paru-paru, ia boleh menyebabkan kematian. Tanda-tanda masalah ini termasuk:

  • batuk
  • sesak nafas
  • kesakitan atau bengkak pada bahagian betis.

Hubungi doktor anda sekiranya anda mendapat tanda-tanda tersebut selepas pembedahan caesarean.

Doktor mungkin akan memberi anda ubat untuk mencairkan darah dan stoking getah sokongan untuk memperbaiki peredaran darah pada kaki anda.

Anda juga digalakkan supaya berdiri dan berjalan-jalan secepat mungkin selepas pembedahan caesarean. Ini akan membantu peredaran darah dan mengurangkan risiko pembentukan darah beku.

Lekatan

Seperti juga pembedahan lain pada bahagian perut atau pelvis, caesarean berisiko menyebabkan lekatan (adhesion) semasa proses penyembuhan.

Lekatan ialah kelompok tisu parut yang boleh menyebabkan organ-organ pada abdomen anda melekat sesama sendiri atau pada bahagian dalam dinding perut.

Kira-kira separuh daripada wanita yang menjalani caesarean mengalami lekatan, dan jumlah ini meningkat kepada 83 peratus selepas tiga pembedahan caesarean.

Lekatan boleh jadi menyakitkan kerana ia mengehadkan pergerakan organ-organ dalaman. Dalam sesetengah kes, ini boleh menyebabkan masalah kesuburan apabila ia menekan tiub falopia atau menyekatnya.

Pembiusan

Kebanyakan pembedahan caesarean dilakukan tanpa pembiusan am (general anaesthetic), yang membuatkan anda tidur.

Sebaliknya, anda akan diberi suntikan epidural yang akan mengebaskan perut anda. Epidural lebih selamat bagi anda dan bayi berbanding pembiusan am.

Walau bagaimanapun, apa-apa jenis pembiusan melibatkan sedikit risiko. Selepas menerima suntikan epidural, sesetengah wanita mengalami:

  • Sakit kepala yang teruk. Masalah ini melibatkan kira-kira satu peratus wanita.
  • Kerosakan saraf. Ini jarang berlaku dan jika ia berlaku, ia hanya berlangsung selama beberapa hari atau minggu sahaja.

Meskipun ramai ibu-ibu tahu akan risiko ini, antara percaya atau tidak terdapat juga segelintir ibu-ibu yang lebih memilih kaedah caesarean berbanding kelahiran normal. Apapun, apa yang diharapkan hanyalah keselamatan dan kesihatan ibu dan bayi.

Semoga ibu-ibu semua selamat melahirkan dengan mudah dan selamat, inshaAllah 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge